SEPTEMBER 2023

Kembara Kenali Borneo Bersama Agong Bermula Di Bumi Kenyalang Hari Ini, Rombongan Selamat Tiba Di Lawas


LAWAS: Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama rombongan yang bergerak dari Sabah selamat tiba di Sarawak hari ini.

Jelajah yang membawa Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong selamat tiba di sini pada jam 8 malam tadi. 

Keberangkatan tiba Baginda berdua serta rombongan yang masuk ke Sarawak melalui ICQ Merapok terus ke Tebingan Sungai Lawas telah disambut oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Timbalan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Kunjungan Baginda berdua yang diiringi Menteri Pengiring iaitu Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof mendapat sambutan yang sangat meriah oleh rakyat di Lawas yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan merakamkan gambar kenangan bersama.

Baginda berdua memulakan pengembaraan di Bumi Kenyalang menerusi pintu masuk Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Merapok, Lawas di sini selepas secara rasmi mengakhiri program Kembara Kenali Borneo di Sabah sejauh kira-kira 900 kilometer (km) sejak 3 September lepas.

Daerah Lawas yang berkeluasan 3,812 km persegi dengan jumlah penduduk seramai 46,200 orang menjadi tumpuan apabila menjadi lokasi pertama di negeri ini yang dilalui konvoi Kembara Kenali Borneo. 

Antara pengisian program iaitu termasuk persembahan sambutan kebudayaan daripada enam etnik dan sesi menandatangani plak Kembara Kenali Borneo.

Selepas itu, konvoi meneruskan perjalanan ke Brunei Darussalam melalui Jambatan Temburung sebelum ke Miri untuk meneruskan pengembaraan.

Kembara Kenali Borneo ini juga akan melalui bandar-bandar utama seperti Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman, Kuching dan akan menamatkan jelalah di Telok Melano, Lundu iaitu yang terletak di kawasan Selatan Sarawak. 

Pengembaraan 11 hari yang melalui Lebuhraya Pan Borneo itu telah bermula di Tawau Sabah pada 3 September lepas dan akan berakhir pada 13 September depan dengan keseluruhan jarak perjalanan sejauh 2,154 km.

Hadir sama menyambut ketibaan iaitu Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah  I (Pemodenan Pertanian) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS